- Lain-lain
Penemuan Baharu Singkap Ritual Istiadat Era Qin
Pemandangan udara tapak Sijiaoping yang baru digali di daerah Lixian, wilayah Gansu. (foto: China Daily)
Selepas Qinshihuang menyatukan negara dan menubuhkan empayarnya hebatnya, pengasas Dinasti Qin (221-206 SM) yang juga merupakan maharaja pertama dalam sejarah China berkemungkinan masih memendam nostalgia terhadap tanah di mana kuasanya bermula.
Di daerah Lixian, wilayah Gansu, puncak gunung sengaja diratakan, dan struktur istiadat dibina. Beberapa abad kemudian, teres seluas 28,000 meter persegi ini digelar oleh penduduk tempatan sebagai Sijiaoping, yang bermaksud "dataran segi empat".
Dari 2020 hingga 2022, pasukan arkeologi bersama yang diketuai oleh Institut Peninggalan Budaya dan Arkeologi Provinsi Gansu dan Universiti Fudan yang berpangkalan di Shanghai telah mendedahkan babak luar biasa dari masa lalu yang telahpun hilang daripada dokumentasi sejarah selama ini menerusi penggalian mereka di tapak Sijiaoping.
Ketika Hou Hongwei, penyelidik bersekutu institut Gansu dengan kerjasama Pentadbiran Warisan Budaya Kebangsaan memberi taklimat pada sidang akhbar, beliau menjelaskan bahawa dinding luar yang diperbuat daripada tanah yang dipadatkan ditemui mengelilingi teres, dan sejumlah besar seni bina daripada bahan sama juga digali di dalam tapak.
"Kami menemui teres tanah di bahagian tengah, yang dikelilingi oleh struktur tambahan di empat penjuru," katanya. "Susun atur asas kompleks ini adalah simetri."
"Boleh dijelaskan bahawa terdapat tiga peringkat struktur di dalam kompaun itu," jelasnya. "Itu menunjukkan sistem ritual yang tegar."
Batu bata dan jubin (gambar) dengan corak hiasan adalah antara komponen struktur yang ditemui di tapak. (foto: China Daily)
Jubin yang digali membantu ahli arkeologi mengesahkan tahunnya iaitu sekitar masa ketika negara Qin menakluki negara pesaing lain dan menyatukan China. Batu bata, paip seramik dan komponen struktur lain turut ditemui, memperluas pemahaman pakar tentang struktur tersebut.
"Kompleks seni bina berskala besar dan susun atur unik sememangnya jarang dilihat dalam penemuan arkeologi sebelum ini, " kata Hou. "Ia dijadikan struktur upacara utama pada zaman empayar Qin. Ia menandakan sebuah negara bersatu dengan kuasa terpusat."
Kawasan yang merupakan daerah Lixian pada masa kini menyaksikan kebangkitan negara Qin sebagai kuasa pemerintah di tengah-tengah konflik huru-hara di kalangan banyak negeri vasal semasa Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh (770-476 SM) dan Zaman Negara-negara Berperang (475-221 SM). Sebelum pusat politik negeri Qin dipindahkan ke timur, iaitu provinsi Shaanxi sekarang, bahagian timur provinsi Gansu adalah tempat tinggal generasi pemerintahnya.
Pada tahun 1990-an, penemuan menakjubkan tapak Dabuzishan Lixian, sebuah kompleks makam negara Qin menawarkan perspektif yang lebih mendalam tentang sejarah. Filet hiasan emas yang digali dari tapak menjadi artifak tanda ukur yang menunjukkan kekayaan dan kemakmuran sosial Dinasti Qin.
Pada 2004, satu projek akademik penting telah dilancarkan di seluruh negara untuk mentafsirkan budaya Qin peringkat awal dan hubungannya dengan kumpulan etnik nomad di barat melalui kajian arkeologi. Dabuzishan dan Sijiaoping, tapak di Lixian tersebut telah menjadi antara yang terpenting untuk projek itu.
"Upacara pengorbanan peringkat negara yang dilakukan pada tahun-tahun awal adalah bahagian penting dalam kajian kami," kata Hou.
Batu bata (gambar) dan jubin dengan corak hiasan adalah antara komponen struktur yang ditemui di tapak. (foto: China Daily)
Pada 2009, beberapa kakitangan muzium tempatan menyedari komponen struktur bertaburan di kawasan sekitar tapak Sijiaoping, dan runtuhan itu mula ditemui pada 2019, iaitu sebelum penggalian saintifik lanjut dilakukan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Hou, kajian dokumen sejarah menunjukkan bahawa Qinshihuang pernah mengembara ke arah barat dari ibu kota empayar Xianyang yang lokasinya di provinsi Shaanxi hari ini, sejurus selepas beliau menyatukan negara.
"Berada di tempat nenek moyangnya tinggal, Lixian terletak dalam laluan perjalanannya," jelas Hou. "Oleh itu, penemuan baharu ini mungkin menunjukkan bahawa ia adalah tempat beliau mengadakan upacara korban pada masa itu."
"Reruntuhan seni bina menunjukkan teknik pembinaan bangunan tinggi dan format binaan yang kukuh," kata Zhu Yanshi, timbalan pengarah Institut Arkeologi, Akademi Sains Sosial China. "Sistem perparitannya juga memberikan gambaran bahawa tempat itu juga seperti pembinaan diraja Qin yang lain, direka dengan sangat baik.”
"Kajian perbandingan dengan tapak lain mungkin menunjukkan bagaimana format struktur binaan untuk istiadat upacara yang berskala besar berkembang pada tahun-tahun awal, apabila dinasti berpusat mula ditubuhkan."