- Lain-lain
Kebun Teh Hidupkan Kembali Pekan Lombong Arang
(Foto/Xinhua) |
Yao Zuhui, seorang penduduk pekan Jiu’an yang berumur 47 tahun, masih ingat dengan jelas nasihat ibunya dua dekad lalu. Pesan ibu, kelebihan mendirikan rumah tangga dengan orang luar ialah dia akan dapat memastikan kasutnya sentiasa bersih kerana tiada lagi abu-abu arang.
Terletak di Guiyang, ibu kota provinsi Guizhou di barat daya China, Jiu’an dulunya tempat melombong 133.7 juta tan arang, dengan lebih daripada dua pertiga penduduk tempatan bergantung hidup pada industri berkaitan arang.
“Saya masih ingat kasut saya berkerak dengan lumpur pada hari hujan dan berdebu pada hari cerah. Kasut yang asalnya putih akan jadi hitam pada penghujung hari,” kata Yao sambil mengenang kembali zaman kanak-kanak. Tambahnya lagi, pada hari-hari pasar, dia akan mengenakan kasut getah kalis air dan membawa bersama sepasang kasut lagi.
Menurut Zuo Haozhong, timbalan setiausaha jawatankuasa parti bagi pekan Jiu’an, kegiatan perlombongan di sana mengakibatkan adanya sisa logam berat dalam air, dan penggunaan air yang tercemar ini meninggalkan kesan berwarna perang pada gigi penduduk kampung.
Tambahan pula, pembinaan lombong memerlukan kayu. Ini menyebabkan berleluasanya kegiatan pembalakan. Akibatnya, hutan gunung habis gondol. Zuo menggambarkan betapa teruknya situasi ketika itu, hinggakan “susah sekali hendak mencari pokok yang (batangnya) lebih besar daripada pergelangan tangan.”
Xiang Chaofu, bekas pengarah jawatankuasa kampung Jiu’an pula mengatakan “kebimbangan yang paling besar” ialah isu pendidikan. Jelasnya, seorang individu secara umumnya hanya mampu mengaut pendapatan bulanan yang tidak seberapa, sedangkan hanya dengan mengangkut satu muatan batu arang seseorang itu boleh menjana sehingga lebih 100 yuan (kira-kira 65 ringgit). Oleh yang demikian, ramai orang muda memilih untuk bekerja di lombong atau membeli trak untuk mengangkut arang sebaik sahaja tamat sekolah menengah rendah, dan tidak mengejar pendidikan yang lebih tinggi.
Penduduk tempatan sedar akan masalah ini, tetapi merasakan mereka tiada pilihan. Walau bagaimanapun, datangnya titik perubahan pada tahun 2006 apabila lebih 90 peratus kawasan tanah pekan tersebut dimasukkan dalam senarai perlindungan sumber air peringkat tertinggi dan kedua tertinggi.
Demi melindungi sumber air, lombong arang beransur-ansur ditutup, berkat juga pada sokongan dasar yang berkaitan serta langkah-langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan tempatan.
Menjelang 2011, kesemua lombong arang telah ditutup terus, menandakan berakhirnya suatu kerjaya yang sejarahnya bermula pada zaman Dinasti Qing (1644-1911). Susulan itu, penduduk tempatan mula meneroka sumber lain yang ada di kawasan mereka dan beralih kepada penanaman teh liar.
Jiu’an memiliki lebih 54,000 jenis tumbuhan teh purba. Maklum Wang Xiang, seorang pakar dari biro pertanian dan hal ehwal luar bandar Guiyang, lokasi pekan tersebut di altitud 1,110 meter adalah kondusif kepada penanaman teh.
Dengan memanfaatkan persekitaran ekologi yang semakin baik dan sumber tanaman teh purba yang pelbagai, pekan itu secara strategiknya memfokuskan industri teh dengan kerjasama aktif bersama syarikat-syarikat ternama bagi menggalakkan aktiviti penanaman teh.
Xiang Chaofu antara kumpulan pertama yang menutup lombong mereka. Dia kini mengusahakan kebun teh seluas 20 hektar. Mengambil inspirasi daripada kejayaan Xiang, Feng Yongying yang sebelum ini mengangkut arang sebagai mata pencarian, telah mengubah hampir 5 hektar tanah gunung tandus menjadi kawasan penanaman teh.
Pada masa ini, output tahunan kebun teh Yao Zuhui telah mencecah 10 juta yuan. “Pendapatan saya sekarang lebih besar dan saya rasa lebih terjamin berbanding masa mengendalikan lombong,” katanya.
Daun teh kering dari pekan Jiu’an dijual pada harga purata 800 yuan sekilogram. Lebih daripada 500 orang bekerja dalam industri teh di Jiu’an, dan sekurang-kurang 2,000 peluang kerja sementara menunggu mana-mana penduduk yang berminat menceburkan diri.
Di Jiu’an, terdapat lebih 1,300 hektar tanah kebun teh dan lebih 200 hektar kebun yang standard ekologinya dikategorikan sebagai tinggi. Kadar litupan hutan turut menyaksikan kenaikan ketara daripada tidak sampai 40 peratus pada 2011 kepada 61 peratus hari ini.
(Foto/Xinhua) |
- Dasar Bebas Visa: Kunming Catat Lonjakan Besar Pelancong Asing
- Harapan Penuntut Malaysia di China terhadap Tahun 2024
- Sumbangan China sebagai Enjin Pembangunan Global
- Atas Pembelajaran Bahasa, Tingkat Persahabatan China-Vietnam
- Shenzhen, Bandar yang Capai Keseimbangan antara Pembangunan dan Alam Sekitar
- Wartawan Eurasia Rasai Debaran pada Ketinggian 370 Meter di Guizhou
- Simposium “Ceritakan Kisah Guizhou kepada Dunia” Diadakan di Guiyang
- Acara Media Eurasia di Guizhou Dilancarkan di Guiyang
- Lada Merah Bawa Kegembiraan Menuai di Guizhou
- Qingzhen, Pesona yang Tersembunyi di Guizhou
- Orang Ramai Main Air pada Pertengahan Musim Panas
- Pangkalan Marikh-1: Latih Hidup di Marikh
- Monyet Daun Francois Ditemui di Barat Daya China
- Konsert Alat Tali di Gua Karst Guizhou
- Bola Keranjang Desa Guizhou, Ketaranya Semarak Minat