- Lain-lain
Apa Jua Cubaan Barat, Xinjiang Terus Buka Pintu
Seorang pekerja menjalankan tugas di sebuah dewan pameran sains dan teknologi pertanian di Changji, wilayah autonomi Uygur Xinjiang, barat laut China, 19 Disember 2023. (Foto/Xinhua) |
Biar apa jua percubaan politikus Barat untuk memburuk-burukkan situasi hak asasi manusia di Xinjiang, retorik mereka tidak akan menghalang wilayah autonomi itu daripada membuka pintunya dengan lebih luas kepada dunia.
Ujar pengerusi wilayah autonomi Uygur Xinjiang, Erkin Tuniyaz, situasi hak asasi manusia di Xinjiang telah mencapai kemajuan yang signifikan dan ketara, namun sesetengah puak politik di Barat sengaja memilih untuk mengelirukan khalayak dengan taktik mencemar reputasi atas dalih melindungi hak asasi.
“Bagi saya, kata-kata hanyalah seperti angin (yang bertiup lalu), tetapi kebenaran dapat dilihat (dengan mata),” kata pengerusi itu, dalam temu bual di luar sesi persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) ke-14.
Katanya lagi, untuk meningkatkan kesedaran mengenai keadaan sebenar di Xinjiang, ramai tetamu diundang ke wilayah itu pada tahun lepas. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di sana, runtuhlah satu per satu dusta yang pernah sampai ke telinga mereka.
Beliau menambah bahawa pada bulan Januari, diplomat asing dan para wakil ke Pertubuhan Kerjasama Shanghai buat kali pertamanya dijemput untuk menghadiri sidang tahunan Kongres Rakyat Wilayah Xinjiang dan jawatankuasa wilayah bagi Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China. Kehadiran mereka pada sesi persidangan tersebut membolehkan mereka lebih mengetahui pencapaian Xinjiang dalam menghormati dan melindungi hak asasi manusia penduduk yang berbilang etnik.
“Xinjiang akan makin terbuka. Saya benar-benar berharap lebih ramai orang dari seluruh dunia akan datang ke wilayah ini untuk melancong atau membuat pelaburan dalam perniagaan supaya mereka dapat melihat Xinjiang yang sebenar, yang indah, harmoni, makmur dan stabil, dengan mata mereka sendiri.
Walaupun menjadi sasaran sesetengah negara barat yang mengenakan sekatan ke atas produk berkaitan dengan Xinjiang, jumlah import dan eksport wilayah itu melangkaui 357 bilion yuan pada 2023, naik 45.9 peratus tahun ke tahun. Kenaikan ini adalah yang kedua tertinggi direkodkan oleh mana-mana kawasan peringkat provinsi di China.
Perdagangan antara Xinjiang dengan negara-negara Asia Tengah pula melonjak 53 peratus tahun ke tahun, menyumbang kepada 80 peratus keseluruhan dagangan asingnya. Wilayah itu, yang bersempadan dengan lapan negara termasuk Kazakhstan, Tajikistan dan Pakistan, mempunyai 18 pelabuhan darat yang khusus mengendalikan kegiatan perdagangan asing.
“Peluang yang dibawa oleh pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan serta penubuhan Zon Rintis Perdagangan Bebas (Xinjiang) China, telah meletakkan Xinjiang yang berada di pedalaman, di tempat terdepan dalam usaha membuka pintu (kepada dunia),” kata Erkin Tuniyaz.
Pada November lalu, zon tersebut, yang juga merupakan yang pertama di kawasan sempadan barat laut China, secara rasminya memulakan operasi. Dengan keluasan hampir 180 kilometer persegi, FTZ itu mencakupi tempat sekitar termasuk ibu kota wilayah iaitu Urumqi, serta Horgos di utara dan Kashgar di selatan.
“Inisiatif ini suatu keputusan penting oleh kerajaan pusat, juga satu batu tanda dalam usaha wilayah ini untuk mendorong keterbukaan bertahap tinggi.
Khususnya, FTZ itu akan membantu memperdalam sinergi antara Xinjiang dan negara-negara Asia Tengah. Wilayah itu akan mempercepat penambahbaikan jaringan rel, jalan raya dan penerbangan awam serta talian paip dengan negara-negara terbabit, kata beliau.
- Lebih 1,000 Tren Kargo Melalui Pintu Horgos
- Lumba Kuda di Kaki Gunung Api, Xinjiang
- Import Eksport USD5.12 Bilion Melalui Pintu Sempadan Alashankou
- Xinjiang Catat 265 Juta Kedatangan Pelancong, Cipta Rekod Tertinggi Sejarah
- Penghantaran Elektrik Voltan Ultra Tinggi Xinjiang Kekalkan Tangga Teratas
- Xinjiang Tubuh FTZ Rintis, Sasar Keterbukaan Taraf Tinggi