- Lain-lain
Mi Tarik Lanzhou Kini Capai Kemasyhuran Global
Bagi penduduk di Lanzhou yang terletak di ibu kota Provinsi Gansu di barat laut China, mereka akan memulakan pagi masing-masing dengan menikmati semangkuk mi daging atau lebih dikenali sebagai mi tarik.
Di Lanzhou, terdapat lebih daripada 1,200 restoran mi daging, yang menjual lebih daripada 1 juta hidangan mi daging setiap hari. Kini, makanan jalanan tempatan yang dahulunya dicipta oleh Ma Baozi itu telah berevolusi menjadi hidangan popular, dan terus berkembang di serata dunia.
Secara asasnya, mi tarik Lanzhou terdiri daripada sup jernih dan penuh rasa, hirisan daging dan lobak putih, minyak cili, daun bawang dan ketumbar, serta mi tarik ‘lamian’ yang kenyal. Malah, pelanggan juga boleh meminta ketebalan dan bentuk spesifik mi masing-masing.
Sejarah mi daging Lanzhou telah bermula pada zaman Jiaqing (1796-1820) Dinasti Qing (1644-1911). Ma Wenbin merupakan pewaris generasi keempat tradisi kulinari tersebut, dan telah menghabiskan 50 tahun untuk membuat mi daging Lanzhou.
Pada 1999, hidangan tersebut telah diangkat oleh China sebagai salah satu daripada tiga jenis hidangan segera utama yang akan dipromosi ke seluruh negara.
Pengembangan mi daging Lanzhou memperlihatkan momentumnya pada 2009 apabila Dongfanggong, syarikat yang berpangkalan di Lanzhou telah dipilih menjadi sebagai syarikat contoh pertama dalam mempromosi di peringkat negara dan antarabangsa hidangan itu.
Francais pertama syarikat tersebut di Xi’an, ibu kota Provinsi Shanxi telah menjadi terkenal dalam sekelip mata sejak dibuka pada 2012, dengan hampir 5,000 hidangan terjual sehari. Hari ini, syarikat tersebut mempunyai lebih daripada 200 restoran mi daging di serata China.
Setakat ini, terdapat lebih daripada 58,000 restoran mi daging di seluruh China, dengan jualan tahunan melebihi RMB60 bilion (sekitar RM36.73 bilion), dan melibatkan lebih daripada 400,000 individu.
Pada Disember 2020, Provinsi Gansu telah mendirikan taman perindustrian mi daging Lanzhou pertamanya di kaunti Yongdeng, dengan sasaran untuk mewujudkan rantaian industri berintegrasi yang menggabungkan operasi restoran rantaian dan pemasaran dalam talian produk pra-bungkusan.
Taman perindustrian tersebut yang berkeluasan sehingga 200,000 meter persegi itu telah menarik kedatangan lebih daripada 80 syarikat, dengan nilai output tahunan dijangka mencecah RMB10 bilion.
Tahun ini, kerajaan perbandaran Lanzhou telah mengeluarkan pelan tindakan tiga tahun untuk meransang pembangunan berkualiti tinggi industri mi daging Lanzhou.
①: Foto fail menunjukkan Ma Wenbin, pewaris generasi keempat mi daging Lanzhou yang sedang membuat mi tarik lamian
②: Pembuat mi tarik mempamekan kemahiran di satu pertandingan mi daging Lanzhou, di Provinsi Gansu, barat laut China pada September lalu. (Xinhua/Lang Bingbing)
③:Pekerja sedang bekerja di barisan pengeluaran di taman perindustrian mi daging di Lanzhou, Provinsi Gansu, barat laut China. (Foto Zhao Yuxin, Ma Tao)
④:Pelanggan menikmati hidangan mi daging. (Foto Zhang Yuge)
Menurut pelan tindakan tersebut, jumlah syarikat pra-bungkusan dalam sektor itu dijangka melebihi 50 buat menjelang penghujung 2026, dengan potensi pendapatan pengoperasian melepasi angka RMB10 bilion, sementara seluruh rantaian industri dianggarkan menjana keuntungan lebih RMB30 bilion.
Pada Mac lalu, Zhou Yan, penduduk tempatan Gansu yang lahir pada 90-an, telah membuka restoran mi daging Lanzhou pertamanya di Stockholm, Sweden. Dengan hanya mempunyai 10 meja, restoran itu menjual lebih daripada 300 hidangan mi daging setiap hari pada waktu kemuncak. Malah, dia turut mempunyai rancangan untuk membuka cawangan kedua restoran itu di ibu kota Sweden.
Dengan terdapatnya perkhidmatan logistik yang cekap, pelanggan luar negara boleh memesan perasa asli mi daging Lanzhou secara terus daripada platform dalam talian China.
Memetik statistik Jabatan Perdagangan Provinsi Gansu, terdapat lebih daripada 600 restoran mi daging Lanzhou di lebih 60 negara dan wilayah di dunia termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jepun, Singapura dan Malaysia.