- Lain-lain
Deklarasi Hangzhou Seru Tadbir Urus Data Global
Forum Data Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali keempat mengeluarkan Deklarasi Hangzhou sebelum melabuhkan tirainya di bandar Hangzhou, pada Khamis.
Deklarasi itu menyeru tadbir urus data global untuk mendorong pelaksanaan Agenda PBB 2030 bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Data yang berkualiti tinggi, tepat pada waktunya, terbuka dan inklusif merupakan komponen penting dalam usaha mempercepatkan langkah bagi mewujudkan Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan menangani pelbagai krisis,” memetik deklarasi itu.
Timbalan Ketua Bahagian Statistik bagi Majlis Ekonomi dan Sosial PBB, Francesca Perucci berpendapat bahawa prinsip-prinsip yang termaktub dalam Deklarasi Hangzhou bertujuan untuk membolehkan data-data terbabit dapat digunakan secara serius, berkesan, serta memainkan peranan yang wajar, selain boleh dikongsi dan digunakan semula.
Selain membina ekosistem data yang terbuka dan inklusif, inovasi teknologi data juga merupakan topik penting pada forum edisi kali ini.
Menurut Naib Pengarah Biro Statistik Kebangsaan China, Mao Youfeng, tindakan perlu diambil untuk mempercepatkan langkah inovasi teknologi dalam konsep dan aplikasi data, memperkasa kerjasama dan pertukaran dalam bidang statistik, selain menggalakkan pemulihan ekonomi global dengan data statistik yang pelbagai dan terperinci, serta kaedah teknikal yang maju dan cekap.
Untuk rekod, kawasan pameran seluas 2,000 meter persegi pada forum tahun ini menghimpunkan perwakilan dari institusi dan perusahaan data dari pelbagai negara untuk mempamerkan pengalaman China dan praktik negara lain dalam tadbir urus data.
Antaranya, zon pameran statistik pintar China menarik sejumlah besar pengunjung, dan data raya, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin merupakan tiga bidang teknikal yang paling menarik perhatian para pengunjung.